Kajian lanjut perlu untuk kembalikan 35 peratus kerusi parlimen milik Sabah, Sarawak

Spread the love
KOTA SAMARAHAN,19 Sept : Pertambahan jumlah kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak bagi mencukupkan jumlah 35 peratus daripada keseluruhan kerusi parlimen memerlukan kajian lanjut sebelum ia dapat dilaksanakan.
 
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak) Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, ketika ini matlamat utama perbincangan itu adalah untuk mengembalikan jumlah 35 peratus jumlah kerusi parlimen bagi perwakilan dari kedua negeri berkenaan.
 
Katanya, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Nor dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudah menyatakan persetujuan masing-masing mengenai perkara itu secara perinsip dan berharap ia turut mendapat sokongan ahli parlimen dari kedua negeri berkenaan.
 
“Berapa banyak, itu perlu kajian lanjut, namun ideanya sekarang adalah untuk mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak untuk membolehkan keseimbangan suara Sabah dan Sarawak di parlimen,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Kesedaran Perjanjian Malaysia  1963 bersama pelajar Universiti Malaysia Sarawak UNIMAS di Kota Samarahan.
 
Menurut Maximus, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertindak menangani isu jumlah kerusi yang perlu ditambah bagi kedua negeri itu selepas persetujuan di peringkat menteri kabinet diperolehi mengenai perkara tersebut.
 
Katanya, SPR juga akan menentukan nisbah kerusi yang bakal diberikan kepada kedua negeri itu sama ada berdasarkan jumlah populasi penduduk atau aspek keluasan kawasan di kedua negeri itu.
 
Bagaimanapun tegas Maximus, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut haruslah bersandarkan semangat asal Pembentukan Malaysia yang mahukan keseimbangan suara bagi ketiga wilayah yang menubuhkan persekutuan itu di parlimen.
 
” Pekara ini tidak berlaku secara kebetulan dimana terdapat 35 peratus kerusi parlimen sebelum Singapura keluar dari gagasan Malaysia.
 
“Ia adalah hasrat semua pihak untuk tidak membiarkan persekutuaan Tanah Melayu mempunyai lebih dua pertiga daripada keseluruhan kerusi parlimen, jika tidak mereka tidak akan memerlukan suara kita (Sabah dan Sarawak) untuk meluluskan dasar atau undang-undang untuk negara,” katanya.
 
Ketika ini jumlah kerusi bagi kedua negeri Sabah dan Sarawak adalah sebanyak 56 buah kerusi  parlimen dengan Sarawak memiliki 31 kerusi manakala sabah 25 kerusi.
 
Jumlah itu hanya 25 peratus atau satu perempat daripada keseluruhan 222 buah kerusi parlimen yang diperuntukkan untuk seluruh negara. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.