Didik anak muda amal kitar semula

Spread the love

MIRI, 19 Sept : Melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Itulah peribahasa yang sesuai dengan usaha Future Ocean Borneo untuk mendidik golongan generasi muda dengan mengadakan kempen kesedaran nengenai penjagaan alam sekitar.

Menurut pengasasnya, Iqbal Abdollah, program ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat Miri mengenai pembuangan sampah ke lautan yang memberi kesan kepada ekosistem marin.

Melalui program ini, yang diadakan semalam, beliau berharap agar kesedaran tentang penjagaan alam sekitar dapat diterapkan bermula dari rumah dan sekolah.

“Jika kita tidak ada kesedaran, kita tidak akan ada menerima apa yang kita buat. Jadi kesedaran yang pertama ialah mereka mengetahui bahawa ada isu yang lebih besar timbul di Miri, iaitu banyak sampah domestik di lautan dan di pantai Miri.

“Jadi kita kena faham untuk menyedarkan orang awam tentang masalah ini.

“Seterusnya daripada situ, saya harap kesedaran itu akan pergi lebih jauh kepada ibu bapa, adik beradik, rakan sekolah, tentang menjaga alam sekitar, bermula daripada mereka sendiri dan bermula daripada rumah ataupun sekolah,” katanya lagi.

Pada majlis yang sama, TVS juga sempat menemubual beberapa pelajar yang dinobatkan sebagai johan di dalam program tersebut.

Rata-rata mereka turut menzahirkan rasa gembira kerana dapat mewakili sekolah pada peringkat daerah.

Dalam kategori sekolah menengah, kumpulan Lugoss Eco Warrior 1 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Lutong berjaya merangkul johan.

Menurut Angelicia Eillia Jelina Julin, dia bersama ahli kumpulannya berasa bangga kerana dapat mewakili sekolah pada peringkat yang tinggi.

“Kami amat berbesar hati kerana dapat mewakili sekolah kami dalam pertandingan ini dan program ini merupakan peluang yang sangat besar bagi kami untuk menunjukkan kekuatan di sekolah kami.

“Kami juga amat terharu dapat mewakili sekolah seperti yang dilakukan oleh senior kami sebelum ini.

“Kemenangan ini seperti titik permulaan utama buat perjalanan kami untuk menjadi pelajar yang cemerlang dan mengharumkan nama sekolah.

“Saya rasa saya amat berterima kasih atas peluang ini dan kami berharap untuk mewakili sekolah lagi pada masa akan datang,” katanya.

Manakala, kumpulan Talented Techies, yang mewakili Sekolah Kebangsaan Senadin, berjaya merangkul johan dalam kategori sekolah rendah.

Ditanya mengenai cabaran mereka sepanjang program, Jayden Wayne Julian berkata, dia dan kumpulannya pada mulanya takut untuk menyertai pertandingan ini kerana kumpulannya tidak pernah menyertai pertandingan pada peringkat lebih tinggi sebelum ini.

Namun begitu, kumpulannya amat bersyukur dapat mengharungi cabaran tersebut dengan membuahkan hasil.

“Cabaran kami adalah pada mulanya kami berasa takut untuk menyertai pertandingan bagi mewakili sekolah pada peringkat daerah.

“Namun begitu, kami redah sahaja cabaran tersebut dan buang perasaan malu kami untuk berjaya.

“Setelah menyertai program ini, kami amat gembira kerana dapat menjadi pemenang dalam kategori sekolah rendah, dan semangat berpasukan kami adalah yang penting,” katanya.

Future Ocean Borneo mendidik golongan generasi muda dalam amalan kitar semula dengan kreativiti di mana pelajar mengubah bahan terbuang di pantai menjadi bahan artistik.

Malah, melalui program tersebut, setiap kumpulan berjaya mengumpul sampah-sarap sebanyak lima hingga 10 kilogram. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.