12 buah deretan rumah kedai terbakar

Spread the love

KUALA TERENGGANU, 19 Sept: Sebanyak 12 buah deretan rumah kedai termasuk sebuah kedai emas di jalan Kampung Cina di Kuala Terengganu, musnah dalam kebakaran semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohd Khairiri Mat Resad @ Arshad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8.42 malam.

Katanya seramai 60 anggota dan pegawai bomba bergegas ke lokasi kejadian dengan menggunakan empat jentera, dua lori tangki serta unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS).

“Kita Berjaya mengawal kebakaran lebih kurang 45 minit dan Alhamdulillah kita masih ada satu jaluran rumah kedai yang berjaya kita selamatkan,” katanya.

Ujarnya, lima buah rumah kedai telah musnah 100 peratus, manakala selebihnya musnah 90 peratus, 50 peratus serta 30 peratus dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Sementara itu seorang pemilik kedai emas ‘Seri Cahaya’, Mohd Ridzuan Mohd Yasin, 39, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu pada 8.20 malam setelah dimaklumkan oleh rakannya.

Kata Ridzuan, kedainya itu ditutup jam 5 petang dan telah pulang ke rumah di hiliran, namun bergegas kembali ke premisnya selepas mendapat tahu tentang kebakaran itu.

Katanya kedai milik keluarganya itu telah beroperasi sejak 25 tahun lalu dan terdapat peti besi untuk menyimpan barangan kemas serta peralatan pertukangan emas di dalam kedai berkenaan.

“Rugi kita tidak dapat bagitahu sebab kita tak boleh masuk lagi ke dalam dan anggaran nilai masih belum dipastikan.

“Barang-barang emas disimpan dalam peti dan dilihat barang-barang mesin tu semua rosak teruk juga,” ujarnya.

Dalam kejadian itu juga, difahamkan empat keluarga yang menginap di deretan rumah kedai tersebut tinggal sehelai sepinggang.

Salah seorang ahli keluarga mangsa, Cham Lau Wee, 53, berkata dia ketika itu sedang makan di medan selera berhampiran sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya terdapat empat ahli keluarganya tinggal di rumah pusaka tersebut, tetapi bernasib baik kesemua tiada di rumah semasa kejadian.

Tambahnya lagi, tiga motosikal turut musnah dalam kebakaran tersebut dan memaklumkan rumah pusaka berkenaan telah didiami keluarganya lebih 60 tahun.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.