Pelajar Politeknik Mukah kembangkan perniagaan ikan masin terima anugerah pelajar cemerlang

Spread the love

MUKAH 18 Sept : Sepanjang tiga tahun bergelar pelajar Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Mukah, Mohd. Hamzah Bakawi turut mengambil peluang untuk ‘menggali’ ilmu keusahawanan di situ.

Bijak membahagikan masa, anak muda berusia 22 tahun ini mencabar dirinya dengan mengembangkan perniagaan ikan masin kecil – kecilan keluarganya sehingga mampu membekalkan hasil laut itu ke seluruh Sarawak.

Terus mengorak langkah,Mohd. Hamzah ‘menjenamakan semula’ perniagaan itu sebagai Hamzah Bakawi International.

“Minat untuk menguruskan perniagaan timbul apabila saya sertai pelbagai aktiviti dianjurkan oleh Unit Keusahawanan Politeknik Mukah.

“Menerusi ilmu yang mereka curahkan, saya beranikan diri untuk daftar peniagaan pada tahun lepas dan kini Alhamdulillah, bisnes semakin berkembang,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima Anugerah Pengarah sempena konvokesyen politeknik berkenaan semalam.

Pemuda yang berasal dari Kampung Masjid Daerah, Bintulu ini berkata, dia turut bersyukur kerana dipilih menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum.

“Selain itu, saya juga menerima Anugerah Ketua Jabatan dan sudah pasti diploma kerana berjaya menamatkan pengajian,” katanya.

Mohd. Hamzah berkata, dia berterima kasih kepada kedua ibu bapanya, kesemua pensyarah dan rakan sepengajian yang banyak menyumbang kepada kejayaannya.

Jelasnya, dia tidak menyesal memilih Politeknik Mukah sebagai pusat Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerana mempunyai nilai yang tersendiri.

“Sepanjang tempoh pengajian, saya juga aktif dalam pelbagai aktiviti termasuklah kesukarelawan.

“Selepas tamat pengajian, saya sempat terlibat dalam Kesukarelawan Rakan Muda Bintulu serta Sukarelawan Vaksin peringkat kebangsaan dan banyak lagi,”katanya.

Ditanya tentang karier impiannya, Mohd. Hamzah memberitahu,dia ingin bergelar arkitek berjaya di negara ini dan mahu menyumbang kepada pembangunan Sarawak.

“Suatu hari nanti, kalau boleh saya mahu bangunkan bangunan tertinggi di Sarawak atau di dunia,” ujarnya -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.