MEITD pergiat program sokong ekosistem pendidikan Sarawak

Spread the love

KUCHING, 18 Sept : Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak sedang melaksanakan pelbagai program yang menyokong ekosistem pendidikan bagi melonjakkan prestasi bidang itu di negeri ini.

Menterinya, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, salah satu projek pendidikan yang dilaksanakan oleh MEITD ialah penubuhan Sekolah Yayasan Sarawak International Secondary School.

Pada masa sama, Roland Sagah turut merayu kepada ibu bapa agar memupuk minat anak mereka dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Kita perlu sedaya upaya meningkatkan modal insan dan bakat bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang merupakan penentu utama kejayaan Sarawak.

“Oleh yang demikian, untuk merapatkan jurang kemahiran, MEITD menyelaras inisiatif kerjasama membabitkan institusi pengajian tinggi dengan industri untuk menggalakkan kemahiran pekerjaan serta dapat menentukan kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir Program Outreach Bersama Komuniti Kampung Penan Muslim di Bintulu, semalam.

Yang turut hadir, dua Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis dan Dr. Annuar Rapaee.

Program dengan kerjasama Pejabat Daerah Bintulu dan Kampung Penan Muslim, Bintulu itu adalah untuk merapatkan hubungan komuniti kampung dengan agensi kerajaan melalui penyebaran maklumat-maklumat tentang perkhidmatan yang ditawarkan.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah gotong-royong mengecat dan mengemas dewan, pameran oleh Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Sarawak Skills, Institut Kemahiran MARA Bintulu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan mini Dome oleh Planetarium Sultan Iskandar.

Sementara itu, sumbangan sejumlah tujuh unit kipas telah diserahkan kepada penduduk Kampung Penan Muslim. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.