Lelaki warga Singapura hilang ketika daki hutan simpan Panti Timur

Spread the love

JOHOR BAHRU, 18 Sept:  Seorang lelaki warganegara Singapura dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika mendaki Hutan Simpan Panti Timur, Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki warga tempatan pada 3.26 petang.

Beliau berkata lelaki warga tempatan itu yang juga rakan mangsa, memaklumkan dia telah terputus hubungan dengan Jason Ren Jie, yang berusia 30-an, semasa mendaki bersamanya di hutan berkenaan.

“Mereka mula mendaki lebih kurang pukul 11.30 pagi. Pengadu berkata dia terpisah dengan mangsa kira-kira 1 tengah hari apabila mangsa dan pengadu berpisah di satu lokasi ketika mendaki.

“Pengadu berjalan dahulu manakala mangsa menunggu di belakang. Tetapi, selepas 30 minit menanti, mangsa tidak muncul-muncul. Pengadu cuba mencari semula mangsa tetapi tidak jumpa,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Batu Ampat telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian mangsa yang dilaporkan sesat.

Operasi mencari dan menyelamat ini turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Balai Bomba Kota Tinggi serta Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan (Kota Tinggi), katanya.

“Setakat pukul 11:30 malam tadi, mangsa masih belum dijumpai dan operasi mencari dan menyelamat dihentikan seketika kerana keadaan persekitaran terlalu gelap dan menyukarkan pencarian. Operasi akan disambung semula hari ini,” katanya.

Hussin turut menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan Hutan Simpan agar mendapatkan permit terlebih dahulu daripada Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi dan memaklumkan kepada balai polis yang terdekat bagi mengelak kejadian sebegini berulang. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.