GPS pertingkat persediaan hadapi PRU-15 – Alexander Nanta 

Spread the love

SERIAN,18 Sept: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meningkatkan persediaan mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) susulan kenyataanPerdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri semalam yang tarikh pembubaran Parlimen akan diumumkan pada bila-bila masa.

Setiausaha Agong GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata,semua wakil rakyat GPS sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen sentiasa menjalankan tugas di lapangan bagi memastikan nasib rakyat terbela.

Tugas dan perkhidmatan kepada rakyat katanya bukan dilakukan hanya bermusim dan menjelang pilihan raya sahaja sebaliknya sepanjang masa agar parti sentiasa relevan kepada rakyat.

“Jadi kita tidak perlu kata sekarang pilihan raya (bakal ) menjelang, kita bersedia.

“Sebenarnya kita (GPS) sudah bersedia sepanjang masa. Jadi persediaan itu mungkin kita pertingkatkan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Kampung Bunan di sini hari ini.

Alexander Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, Sarawak selesai melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 pada tahun lepas yang memberi kemenangan besar kepada mereka.

“Semua ADUN GPS terus berkerja di kawasan bagi memastikan parti diterima rakyat dan (beroleh) kemenangan pada setiap pilihan raya,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.