SUKMA : Atlet muda Sarawak cipta kejutan emas, tewaskan atlet kebangsaan

Spread the love

KUALA LUMPUR, 17 Sept : Atlet Sarawak Ng Jing Xuan mencipta kejutan pada penampilan keduanya di Sukan Malaysia (Sukma), apabila berjaya muncul juara acara rejam lembing wanita dengan menundukkan atlet kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Selepas menamatkan saingan pada kedudukan kelima pada debut di Sukma Perak 2018, atlet berusia 18 tahun itu mencatatkan rejaman sejauh 43.45 meter (m), mengatasi atlet negara J. Pavithraa Devi dari Pulau Pinang yang merekodkan 43.42m.

Pingat gangsa menjadi milik Farisha Athirah Wai dengan rejaman 39.93m.

Bercakap kepada pemberita selepas acara itu, Jing Xuan bersyukur kerana mampu mempamerkan kebolehan beliau pada tahap tertinggi di hadapan peminat sukan tanah air negara.

“Saya memang sangat gembira kerana segala persiapan yang dilakukan semenjak dua tahun lepas berjalan lancar. Sebenarnya ini bukan kali pertama bertemu dengan Pavithraa, kami pernah berjumpa di Terbuka Kuala Lumpur dan dia senior jadi saya sangat menghormatinya.

“Saya juga berharap dengan kejayaan hari ini boleh dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan, namun setakat ini masih tiada perbincangan tentang perkara berkenaan… Sekiranya ada saya memang sudah bersedia,” kata pelajar tingkatan enam di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri, Sarawak itu.

Sementara itu, atlet lompat kijang Andre Anura Anuar dari Sabah yang mempamerkan lompatan konsisten sejak lompatan pertama, berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di edisi Perak 2018.

Mengulas mengenai kejayaan berkenaan, beliau mahu mendedikasikan kemenangan itu buat negeri kelahirannya yang memberi sokongan padu terhadap kerjayanya selama ini.

“Saya gembira dengan lompatan 16.4m sebab masa Sukan SEA catat 16.5m manakala Sukan Komanwel kesemua lompatan saya dibatalkan, jadi dapat kekalkan 16m hari ini memang sangat puas hati.

“Lepas ini akan rehat dulu sebab lepas itu, kena fokus persiapan latihan tahun depan sebab banyak pertandingan antarabangsa dan terawal sekali ialah Sukan SEA Kemboja 2023,” katanya.

Atlet berusia 23 tahun itu berjaya mencatatkan lompatan sejauh 16.43m (m) manakala atlet Selangor Muhammad Izzul Haniff Mohd Raffi merekodkan 15.56m dan atlet Sarawak Brendon Ting Li King dengan 15.14m. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.