Muzik tradisional Sarawak bergema di Banda Hilir

Spread the love

MELAKA, 17 Sept: Hari Malaysia 2022 yang disambut di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda HIlir di sini malam tadi turut mengangkat muzik tradisional Sarawak ke tahap lebih tinggi.

Penyanyi dan pemain sape dari Bumi Kenyalang, Alena Murang, 33, berkata persembahan alat muzik itu pada sambutan Hari Malaysia 2022 merupakan pentas terbaik untuk beliau menyebar luas muzik tradisional Borneo dan Bahasa Dayak agar lebih dikenali di negara ini.

“Saya membawakan lagu bertajuk Meno’ dalam Bahasa Kenyah ataupun rindu jika diterjemah ke dalam Bahasa Melayu. Lagu ini sering dinyanyikan oleh orang-orang tua kami ketika mereka berjauhan daripada keluarga kerana berkelana selama berbulan-bulan ke tempat lain,” katanya kepada Bernama.

Alena, yang belajar bermain sape ketika berusia 11 tahun, berkata bagaimanapun lagu Meno’ telah diberi nafas baharu apabila digubah secara kontemporari dengan iringan gitar akustik dan bes.

Berguru dengan Master Sape Mathew Ngau Jau, pemegang Ijazah Pengurusan Perniagaan dari Universiti Manchester itu berkata suatu ketika dahulu, kaum hawa dilarang menyentuh atau mempelajari alat muzik tersebut kerana ia dikatakan khusus untuk lelaki.

Alena berkata ketika itu, sape digunakan bagi upacara ritual serta penyembuhan dan pemain akan memainkan alat muzik tersebut jika ada ahli keluarga atau penduduk yang sakit namun selari dengan peredaran zaman, ia mula dipelajari oleh golongan wanita untuk hiburan.

“Ketika mula-mula belajar pada tahun 2000, tiada wanita terutama daripada generasi saya yang berminat untuk belajar bermain alat muzik itu. Saya tergerak hati untuk bermain sape ketika belajar menari bersama sepupu ketika tinggal di Kuching,” katanya yang kini menetap di Kuala Lumpur.

Tahun lepas, wanita suku Kelabit itu membanggakan negara apabila video muziknya bertajuk ‘Warrior Spirit’ memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa termasuk muzik video terbaik di Anugerah Filem Antarabangsa New York, Anugerah Khas Juri di Anugerah Filem Los Angeles 2021 serta muzik video terbaik Asia dan Pasifik di Anugerah Muzik Video Antarabangsa United Kingdom.

Video muzik itu, yang dilancarkan pada Mei 2021, diarahkan oleh sepupu Alena, Sarah Lois Dorai dan diterbitkan bersama syarikat produksi Project Room.

Sambutan kali ini turut menampilkan keunikan tersendiri melalui tema busana era 50-an dan 60-an bagi meraikan Hari Malaysia 2022.

Kira-kira 20,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan sambutan julung kali diadakan di Semenanjung itu. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.