Abang Johari ulangi 35 peratus kerusi Parlimen kepada ‘Borneo’ pastikan keseimbangan politik

Spread the love

KUCHING, 17 Sept : Premier Sarawak,Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekali lagi mengulangi bahawa ‘tuntutan’ kerusi Parlimen 35 peratus kepada Sabah dan Sarawak bertujuan untuk memastikan keseimbangan politik negara.

Pada masa sama kata beliau, Sabah dan Sarawak mahu keistimewaan mereka sentiasa dilindungi seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Kita semua telah bersetuju bahawa Sabah dan Sarawak mesti mendapatkan 35 peratus kerusi di Parlimen.

“Ini kerana Perlembagaan boleh dipinda dengan majoriti dua pertiga.

“Kita hanya mahukan perlindungan (menerusi IGC) kerana menerusinya terdapat hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak yang kita panggil ‘assurance’ (jaminan), jadi kita berteraskan jaminan dalam IGC,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Bersama [email protected] 2022, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Malam tadi ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak di Bintulu, Abang Johari berkata, Sarawak dan Sabah perlu memastikan hak dan keistimewaannya sentiasa dilindungi di Parlimen.

Menurutnya, sebelum ini dua wilayah berkenaan tidak diberi peluang untuk menyuarakan kebimbangan mengenai hak mereka sedangkan pada hakikatnya Sarawak dan Sabah turut menjadi bahagian yang membentuk Malaysia berdasarkan MA63 dan IGC. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.