Sarawak genggam teguh ikrar bersama Malaysia berdasarkan terma termaktub – Abang Johari

Spread the love

BINTULU, 16 Sept : Sarawak akan terus menggenggam teguh ikrar untuk bersama – sama Malaysia, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, malah Sarawak akan turut terlibat membangunkan negara ini berdasarkan terma – terma yang telah dipersetujui,.

“Ikrar berkenaan akan dilakukan berdasarkan terma – terma yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak di sini malam ini.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian serta Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom yang merupakan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah serta Menteri Bertanggungjawab ke atas Perayaan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022.

Meneruskan ucapan sempena hari bersejarah ini, Abang Johari berkata, beliau juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memilih Melaka sebagai pusat sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan yang julung kalinya diadakan di luar Sabah dan Sarawak.

“Ini amat wajar sekali sebagai usaha untuk membawa pengertian penubuhan Malaysia daripada tiga wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak ke seluruh pelusuk negara selaras dengan semangat Keluarga Malaysia yang besar bertunjangkan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari turut mengingatkan yang perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama bukan seperti yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang.

“Setiap rakyat Sarawak haruslah berusaha untuk merapatkan barisan supaya negeri kita terus mempunyai keupayaan untuk melonjakkan pembangunannya.

“Saya juga amat berharap kestabilan politik di Sarawak terus berkekalan untuk menyediakan ekosistem yang kondusif kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan pelaburan dari dalam dan luar negeri dalam bidang perindustrian,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.