Agong, Raja Permaisuri berangkat ke UK beri penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II

Spread the love

SEPANG, 16 Sept : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat ke United Kingdom (UK), London bagi memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 8 Sept (Khamis) lepas.

Lawatan khas Al-Sultan Abdullah bagi memenuhi jemputan rasmi kerajaan UK selama enam hari bermula hari ini, diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada 10.30 pagi.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Sebelum berangkat, Pegawai Agama Istana Negara Datuk Munir Md Salleh membacakan doa selamat bagi memohon perlindungan serta keselamatan keberangkatan Seri Paduka berdua.

Seri Paduka berdua berkenan melintasi barisan pasukan Kawalan Kehormat Diraja sebelum menaiki pesawat.

Dalam rangka lawatan khas itu, Seri Paduka berdua akan menghadiri Majlis Resepsi Bersama Raja Britain Raja Charles III pada Ahad ini (18 Sept) dan istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II pada Isnin (19 Sept) di Westminster Abbey.

Al-Sultan Abdullah turut dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa ketua negara asing semasa berada di UK.

Menurut laporan media, jasad Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta yang mangkat pada usia 96 tahun, kini berada di London dan ditempatkan Westminster Hall sehingga istiadat pemakaman negara diadakan.

Baginda ialah raja kedua paling lama menduduki takhta dalam sejarah Eropah selepas Raja Perancis Louis XIV.

Ratu Elizabeth II semasa pemerintahannya pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada 1972 bagi lawatan khas, 1989 sempena mesyuarat Ketua Negara Komanwel ke-11 dan 1998 sempena Sukan Komanwel ke-16.

Seri Paduka berdua pula pernah mengadakan kunjungan hormat serta memenuhi undangan majlis santapan tengah hari bersama Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham pada 13 Dis 2019 ketika lawatan khas ke England.

Al-Sultan Abdullah menjalin persahabatan dengan Raja Charles III sejak lebih empat dekad dan pernah bersukan polo berkuda bersama-sama ketika zaman remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

Malaysia dan UK mempunyai hubungan dua hala yang rapat sejak kemerdekaan Malaysia 65 tahun lepas.

Al-Sultan Abdullah sebelum ini berkenan supaya bendera negeri Pahang dikibarkan secara separuh tiang selama tiga hari berturut-turut bermula Sabtu lepas (10 Sept) bagi menzahirkan penghormatan atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Berikutan lawatan khas itu, lawatan negara Seri Paduka berdua ke Singapura yang dijadualkan pada Isnin ini (19 Sept) ditangguhkan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.