Pulau Pinang negeri kedua tarik darjah kebesaran Najib

Spread the love

GEORGE TOWN, 15 Sept : Pulau Pinang menarik balik keahlian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penyandang ahli darjah kebesaran negeri berkuat kuasa hari ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan penyandang ahli Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) Pulau Pinang, yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama yang telah dianugerahkan kepada beliau pada tahun 2009.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pemansuhan dan pembatalan tersebut telah dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Baca artikel berkaitan >>>>> Istana Selangor tarik gelaran ‘Datuk Seri’ dan ‘Datin Seri’ yang dikurniakan kepada Najib dan Rosmah

Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Zakuan Zakaria berkata, persetujuan itu berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Najib atas beberapa pertuduhan pada 23 Ogos lalu.

“Beliau sebagai penyandang Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan berkuat kuasa 15 September 2022.

“Pembatalan dan pemansuhan ini adalah selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri yang dikurniakan kepada Najib pada 1992 dan 2004, berkuat kuasa 12 September lalu.

Untuk rekod, Najib mempunyai sembilan darjah kebesaran dari Selangor, Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. (SRC). – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.