Pelajar cemerlang dan enam agensi terima sumbangan Ahli Parlimen Tanjong Manis

Spread the love

SARIKEI, 15 Sept : Seramai 27 orang pelajar cemerlang dan enam agensi menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab hari ini.

Yusuf berkata, sumbangan itu bertujuan untuk meringankan beban keluarga pelajar selain pihaknya mahu menyokong usaha melahirkan modal insan berkualiti.

“Selain itu sumbangan ini juga bermatlamat membantu kesemua agensi terbabit melaksanakan pelbagai aktiviti di jabatan masing-masing,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Pelajar Cemerlang dan Pelbagai Agensi dan Jabatan Kerajaan di sini hari ini.

Antara agensi yang menerima sumbangan termasulah Jawatankuasa Penyelaras Guru Tabika Perpaduan,Surau Al Taqwa, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, Kelab Jabatan Pertanian Sarikei dan Kelab Kebajikan Staf Sekolah Kebangsaan Abang Haji Matahir.

Yusuf berkata, beliau berharap agar sumbangan berkenaan dapat digunakan untuk melaksanakan aktiviti tahunan dan membeli alat sistem audio di IPG Kampus Rajang yang dipohon beberapa bulan lepas.

Menyentuh bantuan untuk pelajar cemerlang pula, Yusuf berkata, sumbangan yang dihulurkan itu bukan bermusim sebaliknya secara berterusan.

“Pelajar yang mendapat keputusan 5A dan ke atas, kita beri sumbangan sebanyak RM500 dan sijil atas kejayaan cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lepas,”katanya.

Sumbangan yang diserahkan hari ini masing – masing berjumlah RM13,500 untuk pelajar cemerlang dan RM26,000 kepada enam agensi berkenaan.

Dalam pada itu, Yusuf berkata, pihaknya juga menyediakan dana khas kepada pelajar di Tanjong Manis yang melanjutkan pengajian peringkat sijil, diploma, sarjana muda hingga sarjana.

“Secara keseluruhan sejumlah RM48,500 diperuntukkan kepada 218 orang pelajar bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.