MOTAC teroka potensi Pulau Satang Sarawak

Spread the love

KUCHING, 15 Sept : Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia meneroka potensi aktiviti island hopping di Pulau Satang, Sarawak sebagai tarikan baharu pelancongan di negeri ini.

Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, usaha itu dapat mempromosikan kepelbagaian produk dan pakej pelancongan di Sarawak.

Dato Sri Nancy ketika mendengar taklimat usaha konservasi penyu Sarawak di Pulau Satang. Foto Faitullah Morni (TVS)

“Sebenarnya banyak lagi tempat di kawasan ini yang masih belum dikenali oleh orang ramai termasuklah masyarakat Sarawak sendiri.

“Terdapat pelbagai aktiviti pelancongan air dan laut termasuk snorkeling dan scuba driving yang dapat ditawarkan kepada pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Taman Negara Talang Satang di sini hari ini.

Tambah Nancy, Pulau Satang yang terletak dalam lingkungan taman negara berkenaan diwujudkan bagi tujuan pemuliharaan populasi penyu di Sarawak.

“Di sini juga ada terdapat program pemuliharaan penyu yang membolehkan sukarelawan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam usaha-usaha konservasi penyu di stesen pemuliharaan penyu,”katanya.

Sempena lawatan itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, MOTAC juga melihat potensi Kuching Wetland National Park menerusi aktiviti ‘River Cruising’.

“Taman negara ini terdiri daripada ekosistem pantai, marin dan air tawar.

“Haiwan yang dapat dilihat semasa aktiviti river cruising di sini adalah seperti buaya, proboscis monkey, ikan lumba-lumba Irrawady dan melihat kelip-kelip pada waktu malam,” katanya.

Kuching Wetland National Park pula kata Nancy yang meliputi kawasan di muara Sungai Sibu Laut dan Salak juga terdiri daripada ekosistem pantai ,marin dan air tawar. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.