MOTAC kenal pasti Santubong sebagai produk pelancongan mesra muslim

Spread the love

KUCHING, 15 Sept: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengenal pasti kawasan Santubong sebagai antara produk pelancongan yang boleh diketengahkan sebagai satu daripada skop sektor pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini kerana Santubong merupakan tapak negeri Melayu kedua tertua dunia dengan terdapat makam Sultan Tengah Sarawak yang merupakan satu-satunya sultan bagi kerajaan kurun ke-17 yang masih terjaga rapi untuk dilawati pengunjung.

“(Santubong) juga menarik dengan tapak-tapak arkeologinya. Tanah perkuburan prasejarah di Tanjong Kubor, aktiviti manusia awal menubuhkan industri besi di Sungai Jaong dan ukiran batu dari tamadun terdahulu yang semua ini boleh dijadikan penceritaan menarik bagi pelancong Muslim,” katanya pada majlis perasmian Seminar Keusahawanan dan Kepimpinan Pelancongan Islam (ITELS) di sini hari ini.

Nancy berkata dalam usaha membangunkan sektor pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim, MOTAC kini mempermudah urusan pendaftaran pengusaha inap desa bagi membolehkan pengusaha mendapat manfaat di bawah Program Pengalaman Homestay Malaysia.

“Ini merupakan satu daripada usaha keajaan untuk meningkatkan penjanaan pendapatan masyarakat setempat menerusi pelancongan berasaskan komuniti di luar bandar.

“Sebagai contoh, masjid-masjid di serata negeri ini dengan sejarah dan silang budayanya boleh mempamerkan cara hidup seni dan budayanya yang tidak dialami di tempat lain. Begitu juga aktiviti inap desa yang menyerlahkan warisan tersendiri kaum etnik yang terdapat di negeri ini,” katanya.

Pada sidang media selepas itu, Nancy berkata kementeriannya juga telah mengenal pasti beberapa rumah panjang di Sarawak untuk dijadikan sebagai inap desa mesra Muslim.

“Kita hendak tunjukkan di rumah panjang ini ada yang Muslim dan bukan Muslim namun tetap tinggal di bawah satu bumbung.

“Pelancong Muslim sebenarnya tertarik dengan sejarah rumah panjang, adat dan ekopelancongan yang ada di kawasan itu. Jika proses ini berjaya (inap desa rumah panjang mesra Muslim) saya pasti ramai yang berminat untuk berkunjung ke rumah panjang untuk menikmati sendiri pengalamannya,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.