Banjir luar jangka di Hulu Baram terkawal – Bomba

Spread the love

KUCHING, 15 Sept: Keadaan banjir luar jangka yang berlaku di beberapa kawasan di Hulu Baram, Miri adalah terkawal, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

Pengarah JBPM Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata air di kawasan terjejas sudah mula surut dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka.

Beliau berkata aset JBPM seperti helikopter juga telah digerakkan ke lokasi bagi menghantar bekalan makanan dan bantuan lain.

“Kebiasaannya pada September, kita jangka keadaan panas dan kering tetapi apa yang berlaku kini adalah akibat perubahan musim yang tidak kita jangka.

“Untuk persiapan di Sarawak, kita memang sudah bersedia sekarang atau sewaktu Monsun Timur Laut (MTL) nanti,” katanya kepada pemberita sekepas menghadiri Program Solidariti Bomba dan Masyarakat di sini hari ini.

Hujan lebat di kawasan Hulu Baram telah mengakibatkan situasi banjir sejak Ahad lepas.

Khirudin berkata keadaan banjir di Hulu Baram juga dapat dikawal hasil daripada kerjasama pihak bomba dan komuniti setempat.

Menurut laporan kesiapsiagaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fasa peralihan monsun akan bermula pertengahan September hingga November dan jabatan itu menjangkakan MTL 2022/2023 bermula pada November 2022 hingga Mac 2023.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022 manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.