22 nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan Maritim Malaysia

Spread the love

GEORGE TOWN, 15 Sept : Sebuah bot nelayan asing bersama 22 kru yang menceroboh kawasan perairan negara ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam.

Bot berkenaan ditahan pada kedudukan 51.9 batu nautika barat daya Pulau Kendi semasa Op Benteng Laut kira-kira pukul 2.50 petang.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan dari Indonesia itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan asing, KM Sumber Lestari tersebut dikendalikan oleh 22 kru warga Indonesia termasuk tekong.

“Ketika diperiksa, kesemua mereka yang berusia 20 hingga 56 tahun itu didapati tidak memiliki pasport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua nelayan yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang di sini bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di negara ini tanpa pas yang sah. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.