Pengambilalihan lima IPT swasta oleh kerajaan negeri alternatif kepada UPU – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 14 Sept : Langkah Kerajaan Sarawak mengambil alih lima institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di negeri ini merupakan usaha untuk membantu anak Sarawak melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif berkenaan juga akan menjadi alternatif kepada pelajar di sini untuk meneruskan impian ke menara gading sekiranya gagal ‘melepasi’ saringan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (UPU) Kementerian Pengajian Tinggi.

Menerusi pemilikan IPTS di bawah seliaan Yayasan Sarawak itu, Abang Johari berkata,  Sarawak memiliki IPT mencukupi untuk melahirkan modan insan berkualiti tinggi.

“Ini bermakna peluang anak – anak kita lebih cerah (untuk menyambung pengajian), kalau dahulu hanya bergantung kepada UPU yang mana ada permohonan tidak berjaya selain jurusan yang ditawarkan bukanlah pilihan pelajar,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Khas Premier Sarawak 2022 di sini hari ini.

Yang turut hadir,Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Sempena majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan anugerah khas kepada 58 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019, 2020 dan 2021.

Ujar Abang Johari, menerusi IPT serta pusat kemahiran dan teknikal yang dimiliki oleh kerajaan negeri, pelajar – pelajar di Sarawak tidak perlu lagi bergantung kepada UPU.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar lebih ramai pelajar Sarawak mendalami ilmu sains dan kemahiran dalam sektor berkaitan.

Katanya ini penting bagi memastikan Sarawak sentiasa bersedia menghadapi sebarang transformasi ke arah ekonomi baharu.

“Bagi memastikan kita terus relevan dengan keadaan semasa termasuklah setelah bergerak kepada ekonomi baharu berasaskan sumber asli seperti air dan hutan yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya,”katanya.

Ke arah itu, ujar Abang Johari, Sarawak memerlukan tenaga dalam bidang biologi, kimia dan sebagainya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.