Peluang bina kerjaya menerusi ILTIZAM: Program Pembangunan Profesional 2023

Spread the love

KUCHING, 14 Sept : Ekuiti Nasional Berhad atau Ekuinas melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), ILTIZAM mempelawa graduan Bumiputera yang tidak mempunyai pekerjaan selama enam bulan atau lebih, atau mereka yang mempunyai pekerjaan namun tidak setaraf dengan tahap pengajian untuk menyertai Program Pembangunan Profesional (PDP) 2023.

Permohonan bagi Sesi Pengambilan 2023 telah dibuka bermula 15 Ogos hingga 30 September 2022.

Program ini disasarkan kepada graduan Bumiputera di bawah umur 28 tahun dari mana-mana institusi pendidikan tempatan dan keutamaan diberikan kepada mereka daripada isi rumah B40, dengan pendapatan bulanan kasar isi rumah di bawah RM5,000 sebulan.

Mereka juga akan menerima gaji bulanan sebanyak RM2,500 berserta caruman KWSP, PERKESO serta faedah perubatan dan insuran.

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, program PDP ini juga bertujuan untuk graduan membina kerjaya cemerlang dan menjadi contoh dan pemimpin kepada komuniti dan rakan sebaya mereka.

“Sejak ILTIZAM PDP dilancarkan pada tahun 2012, kami telah membantu hampir 600 graduan untuk membina kerjaya mereka melalui program latihan sambil bekerja selama 12 bulan di mana mereka ditempatkan sebagai Pelatih Eksekutif di Ekuinas dan syarikat-syarikat rakan kongsi kami.

“Selain diberi pendedahan dan pengalaman kerja, mereka juga akan didedahkan kepada pembangunan kemahiran insaniah, komunikasi dan kepimpinan yang dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka agar lebih berdaya saing dan cemerlang dalam aam pekerjaan yang semakin mencabar masa kini,” katanya.

Menurutnya, kadar kejayaan program ILTIZAM PDP pada Sesi 2021 membanggakan dimana 95 peratus daripada 75 orang Pelatih Eksekutif telah berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh 6 bulan selepas tamat program.

Selain latihan sambil bekerja, para pelatih juga akan menjalani program latihan khusus seperti kemahiran perniagaan dan pengurusan, kepimpinan, komunikasi Bahasa Inggeris, kemahiran pembentangan, dinamik pasukan dan daya ketahanan. Seorang mentor juga akan ditugaskan untuk membimbing mereka sepanjang program ini.

Bagi mereka yang berminat, boleh menghantar permohonan ke https://iltizam.ekuinas.com.my/pillars/education/pdp/ – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.