Parti komponen GPS bakal miliki wakil Sayap Wanita dan Pemuda dalam MKT

Spread the love

KUCHING, 14 Sept : Sayap Pemuda dan Wanita setiap parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka akan mempunyai perwakilan dalam Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT).

Pengerusinya,Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu bagi mengiktiraf sumbangan kedua-dua sayap berkenaan.

Katanya, setakat ini Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah meminda Perlembagaannya baru – baru ini bagi membolehkan perkara itu dilaksanakan.

“Sekiranya parti -parti di bawah GPS yang lain juga meminda Perlembagaan masing – masing dan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), kita (GPS) juga akan berikan tempat dalam MKT kepada pemimpin berusia 18 hingga 28 tahun dan ini telah dipersetujui,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MKT GPS di sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Ketua Penerangan GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Sementara itu, Abang Johari berkata, ROS telah meluluskan permohonan untuk gabungan berkenaan menyenaraikan wakil Sayap Wanita dan Pemuda sebagai ahli MKT.

Ditanya tentang kesiapsiagaan GPS berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Abang Johari yang juga Yang di Pertua PBB menjelaskan, beberapa strategi telah digariskan untuk berhadapan dengan isu – isu yang bakal ditimbulkan.

“Kita tidak tahu bila PRU-15 namun GPS akan menubuhkan jentera pilihan raya,”katanya.

Tambah beliau, PRU-15 akan menjadi ujian pertama kepada GPS bergerak sebagai sebuah parti tempatan di peringkat nasional.

Pada masa sama katanya,GPS berpandangan bahawa kestabilan politik negara adalah sangat penting bagi membolehkan penyampaian perkhidmatan yang baik kepada rakyat. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.