Mayat lelaki ditemui tepi jalan Tanjung Maling, Sibu

Spread the love

SIBU, 14 Sept: Mayat lelaki tanpa identiti ditemui di tepi Jalan Tanjung Maling, Sungai Bidut dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) ,Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu sekitar jam 9.24 pagi daripada orang awam melalui panggilan kecemasan MERS 999.

Beliau berkata mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian baju lengan panjang dan seluar panjang.

Katanya, pihak polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dilakukan pada mayat si mati.

“Pemeriksaan lanjut pada kedua-dua lengan si mati juga tiada sebarang kesan suntikan imunisasi (Bacillus Calmette Guerin (BCG)” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkipli memberitahu bahawa pihaknya juga mengesahkan tiada kesan kecederaan luaran pada tubuh si mati serta tiada unsur jenayah dikesan di lokasi penemuan setakat ini.

Beliau berkata mayat telah dihantar ke Hospital Sibu untuk tujuan bedah siasat.

“Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” tambahnya.

Justeru itu, pihak polis meminta mereka yang kehilangan ahli keluarga atau rakan untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

Beliau juga menyeru kepada mana-mana saksi, individu , waris atau majikan yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ataupun kehilangan pekerja segera tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui balai polis yang berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat kes , ASP Binsin Lunjong di talian 017-8025675. -TVS

Tags: mayat, sibu

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.