Industri perlu peka dengan kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerja pada produktiviti negara

Spread the love

MIRI, 14 Sept : Para majikan dan pekerja di Sarawak perlu mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Hal ini bukan setakat untuk menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja tetapi juga untuk meningkatkan produktiviti ekonomi dalam negeri.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, setiap sektor perlu memberi perhatian dengan isu ini bagi mengurangkan jumlah kemalangan dan penyakit.

“Industri pengangkutan dan logistik merupakan salah satu industri yang sentiasa terdedah dengan banyak bahaya keselamatan dan kemalangan dan lain-lain.

“Dan di sinilah saya rasa kita perlu beri perhatian.

“Jadi saya fikir kita perlu melihat pelbagai sektor di mana kita boleh fokus supaya kita dapat mengurangkan kemalangan dan penyakit dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sarawak (ISOSH) 2022 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Sarjana Pendidikan Perubatan Hospital Miri (PGMESH), dan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Hospital Umum Sarawak (OSHAS) yang diadakan selama dua hari di Hotel Pullman Miri bermula hari ini.

Beliau juga menambah walaupun tiada kehilangan nyawa, kecacatan dan kecederaan pekerja akan memberi kesan kepada keluarga dan negara.

“Meskipun tiada kehilangan nyawa, tetapi mereka dengan kecacatan kekal dan kecederaan akan memberi impak kepada produktiviti kita.

“Jadi secara keseluruhan, ini akan memberi impak kepada produktiviti kita dan ini bukan sahaja merugikan pada keluarga mereka, tetapi juga kepada negara.

“Sebab itulah kita perlu bersedia meletakkan penekanan dan perhatian yang kuat terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya lagi.

Antara objektif persidangan ini adalah sebagai platform pertukaran dan perkongsian pendapat pakar antara pelbagai industri mengenai topik keselamatan dan kesihatan pekerja (OSH), membantu pengamal OSH untuk sentiasa peka dan maklum dengan perkembangan terkini industri terutamanya melibatkan akta dan peraturan.

Pada penghujung persidangan ini, para peserta diharapkan akan mempunyai kesedaran lebih baik mengenai kepentingan kedua-dua aspek ini di samping menjalinkan rangkaian perhubungan dalam kalangan pemain utama dalam kepelbagaian industri. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.