Wanita rugi RM42,000 selepas ikut arahan ‘pegawai bank’

Spread the love

SIBU,13 Sept : Seorang wanita yang menjalankan perniagaan dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di Sibu mengalami kerugian sebanyak RM42,000 selepas dia diperdaya oleh sindiket Macau Scam semalam (Isnin).

Kejadian dilaporkan berlaku pada 12 September apabila pengadu menerima panggilan daripada individu yang mengaku diri sebagai pegawai Bank HSBC dan mendakwa mangsa telah melakukan transaksi berjumlah RM3,700.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili, berkata, selepas mangsa menafikan pernah melakukan transaksi tersebut, mangsa telah diberi satu nombor talian dan diminta untuk berhubung dengan pegawai Bank Negara.

Menurut Zulkipli, selepas menghubungi nombor tersebut, mangsa telah diarah untuk memuat turun dua aplikasi, iaitu ‘testflight’ dan safty’, dan diminta mengisi maklumat peribadi termasuk berkaitan akaun bank miliknya dalam aplikasi tersebut.

“Mangsa mengesyaki dirinya telah menjadi mangsa penipuan selepas mendapati wang dalam akaun perbankan miliknya telah berkurangan sebanyak RM18,500,” beliau memaklumkan dalam satu kenyataan pada hari ini.

Beliau menambah, semakan pengadu mendapati wangnya telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenali.

Menurutnya, mangsa mengesyaki panggilan yang diterimanya sebelum itu adalah panggilan daripada ‘scammer’ dan bukan daripada pihak bank.

Mangsa kemudian bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu untuk tindakan lanjut.

Zulkipli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tipu helah ‘scammer’ dan tidak panik apabila diminta mengikut arahan daripada pemanggil yang tidak dikenali, terutamanya berkaitan maklumat peribadi membabitkan akaun bank.

“Kongsikan situasi yang dihadapi atau dapatkan pandangan daripada ahli keluarga, kenalan dan pihak berkuasa sekiranya menerima panggilan yang meminta maklumat peribadi berkaitan akaun perbankan,” tegas beliau.

Sebarang nasihat dan kemusykilan berkaitan jenayah komersil boleh dirujuk kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599, atau ikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.

Semakan mengenai akaun bank dan nombor telefon yang diragui boleh dibuat melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.