Pembangunan Neu Pendington pacu pemodenan kawasan sekitar

Spread the love

KUCHING, 13 Sept : Perancangan pemodenan kawasan baharu di Pending yang dikenali sebagai Neu Pendington merupakan kerjasama di antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan UDA Holdings Berhad (UDA).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau menjangkakan pembangunan berkenaan akan mengubah landskap Pending kepada satu tahap yang akan dibanggakan oleh semua pihak di Sarawak.

“Kita tahu kawasan Pending agak strategik kerana kedudukan berhadapan dengan Sungai Sarawak dan juga di seberangnya Petra Jaya yang sedang membangun.

“Ini bermakna seluruh kawasan tersebut akan dilihat sebagai kawasan yang akan membangun sebagai kota moden dan terdapat kawasan tertentu yang akan dikekalkan sebagai kota warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Neu Pendington di sini semalam.

Sementara itu, Abang Johari menjelaskan, pembangunan Neu Pendington ini juga bakal menempatkan salah satu stesen Transit Aliran Automasi (ART) untuk mewujudkan pengangkutan awam yang moden dan efisien.

“ART kelak akan mempunyai akses ke universiti, termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan dan Universiti Teknologi Swinburne.

“Ia akan melalui kawasan kota warisan dan menyeberangi Jambatan Darul Hana terus ke Petra Jaya dan Damai,” katanya.

Projek tersebut dijangka akan dapat disiapkan sepenuhnya pada 2029, di mana fasa pertama akan siap pada 2026 dan fasa kedua pada 2027.

Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain, Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Karim. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.