Lelaki dicekup, cuba seludup minyak diesel bernilai RM16,000

Spread the love

MIRI, 13 Sept : Seorang lelaki dicekup oleh pihak polis kerana dipercayai cuba menyeludup minyak diesel pada jam 10.30 pagi semalam.

Suspek ditangkap oleh Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri dalam operasi Op Kontraban.

Menurut Ketua Polis Daerah (KPD) Miri Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu, polis menahan van dinaiki suspek di tepi Jalan Krokop Utama berhadapan dengan sebuah sekolah.

“Hasil pemeriksaan dan pengakuan lisan dari pemandu van, beliau mengaku membawa muatan minyak diesel di dalam bahagian belakang van tersebut berjumlah lebih kurang 300 liter di dalam 12 tong jerrycan dalam pelbagai saiz dan warna.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki barang kawalan tanpa permit khas dari pihak Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)” katanya.

Menurut laporan polis, jumlah nilai keseluruhan rampasan adalah RM16,005.00.

“Semua barang rampasan dan tangkapan diserah kepada Pegawai Penyiasat KPDNHEP Miri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.