Sarawak Teachers’ Union (STU) saran Kementerian Pendidikan Malaysia gubal semula takwim asal persekolahan

Spread the love

KUCHING, 13 Sept : Sarawak Teachers ‘ Union (STU) menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggubal semula takwim asal persekolahan, kata Presiden STU, Kullin Djayang.

Menurutnya, saranan bagi penggubalan semula ke takwim asal persekolahan ini adalah untuk memudahkan para pelajar, khasnya yang menduduki kelas peperiksaan.

“Kita faham bahawa KPM berusaha dengan baik untuk memastikan takwim persekolahan dirancang dengan teliti selepas sahaja kita menghadapi pandemik COVID-19 ini.

“Pelajar-pelajar, khasnya dalam kelas peperiksaan, harus ada sesi bersemuka sebelum peperiksaan untuk memudahkan guru dan pelajar berbincang secara bersemuka,” katanya kepada pemberita TVS hari ini.

Kullin berkata pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) secara bersemuka memberi lebih impak dalam proses mendidik pelajar dibanding dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beliau berpendapat bahawa takwim asal persekolahan sebelum pandemik adalah lebih sistematik.

“Namun, kita mesti tamatkan sesi 2022 terlebih dahulu sebab kita lewat memulakan sesi persekolahan, iaitu pada bulan Mac.

“Oleh yang demikian, untuk kembali kepada jadual sebelumnya pada tahun hadapan, saya berpendapat bahawa guru dan pelajar harus sedia menempuh sedikit kesukaran dan keletihan kerana terpaksa memendekkan atau mengorbankan cuti penggal persekolahan dan cuti hujung tahun untuk menggantikan PDP sebelum ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Kullin mencadangkan kepada KPM agar semua sekolah menggunakan hari Sabtu untuk menggantikan kelas PDP yang hilang.

“Memang ia kelihatan sukar dan membebankan, namun jika ingin mengubah takwim kepada bentuk asal, semua pihak seperti guru, murid dan ibu-bapa harus menerima keadaan ini kerana jumlah hari persekolahan tidak wajar dikurangkan kerana sukatan pelajaran sudah ditetapkan.

“Sebelum melaksanakan takwim asal seperti dahulu, KPM juga harus mendengar pandangan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dan juga pakar-pakar akademik yang ada sekarang.

“Selain itu, KPM harus mencontohi bagaimana negara-negara maju menguruskan sesi akademik mereka sehingga berjaya balik kepada keadaan seperti sedia kala,” ujar Kullin lagi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.