Kerajaan muktamatkan keputusan dasar pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori

Spread the love

PUTRAJAYA, 13 Sept:  Kerajaan telah memuktamadkan keputusan dasar berhubung pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu dicapai dalam dua siri mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Cadangan Balas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikannya pada pada 6 Sept lepas dan hari ini.

“Kerajaan secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan hukuman gantian bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah serta moratorium pelaksanaan hukuman mati bagi 1,337 banduan,” katanya.

Katanya susulan keputusan itu, satu Memorandum Jemaah Menteri akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan, sebelum pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaan akta-akta terlibat dilaksanakan dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Keempat Belas.

“Bacaan pertama bagi RUU itu dijangka pada 4 Oktober dan bacaan kedua pada 22 November, tertakluk kepada perubahan jadual dari semasa ke semasa,” katanya.

Wan Junaidi berkata kerajaan juga akan mengadakan sesi libat urus bersama wakil Ahli Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi membentangkan penetapan dasar berkaitan pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.

“Kerajaan sentiasa komited untuk memperjuangkan undang-undang yang lebih adil dan penuh belas kasihan dalam isu sebatan serta pelaksanaan hukuman mati,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.