Kebocoran data disyaki milik tokoh kerajaan, Indonesia tubuh ’emergency respons team’

Spread the love
JAKARTA, 13 Sept : Sejak seminggu lalu, Indonesia diserang penggodam yang didakwa memaparkan data peribadi pegawai negara, termasuk surat yang ditujukan kepada Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi.
 
Sebagai respons kepada serangan tersebut, Jokowi mengadakan mesyuarat khusus dengan beberapa Menteri Kabinet Indonesia di Istana Negara di sini pada malam Isnin.
 
Hasil daripada rapat tersebut, presiden itu menggesa penubuhan pasukan tindak balas kecemasan bagi menyiasat kebocoran data berkenaan.
 
Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat (Kominfo), Johnny G. Plate, berkata pasukan itu akan dianggotai Badan Siber dan Enkripsi Negara, Kominfo, Polis dan Badan Perisikan Negara (BIN).
 
Menurut Johnny, mereka akan meneliti lebih lanjut data yang tersebar dan disyaki adalah data kepunyaan menteri-menteri dan presiden, termasuk oleh penggodam bernama ‘Bjorka’ .
 
“Pasukan yang dibentuk akan ditugaskan untuk menyiasat dakwaan tentang kebocoran data dan mengekalkan tadbir urus data yang baik di Indonesia demi menjaga kepercayaan orang ramai pada masa hadapan,” katanya selepas mesyuarat.
 
Namun, kata Johnny, semakan awal mendapati data bocor itu berstatus umum, selain data lama, dan bukan data spesifik yang terkini.
 
Sepanjang minggu lalu, melalui Twitternya, ‘Bjorka’ mendakwa diri telah memperoleh beberapa data milik kementerian, termasuk surat milik Jokowi serta surat daripada agensi perisikan.
 
‘Bjorka’ turut mendedahkan beberapa kes besar yang telah pun mendapat perhatian rakyat Indonesia.
 
Sementara itu, Kominfo turut mengupayakan perbahasan di Parlimen mengenai Rang Undang-undang Perlindungan Data untuk memperkukuh infrastruktur keselamatan siber negara itu.
 
Kominfo juga meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati di ruang digital. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.