Bomba gerakkan Operasi HADR hantar bantuan makanan untuk Kampung Long Seniei

Spread the love

MIRI, 13 Sept : Operasi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) telah dilancarkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi bagi penghantaran bekalan makanan untuk penduduk Kampung Long Seniei, Akah Baram yang terjejas akibat kebakaran.

Satu blok rumah panjang Long Seniei musnah dalam kebakaran pada 9 September lepas melibatkan 600 orang mangsa dan sejumlah 30  bilik di rumah panjang tersebut.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Maureen Sim Ah Lian, operasi itu terpaksa digerakkan dengan menggunakan laluan udara ekoran jalan darat sukar dicapai akibat banjir di beberapa kawasan termasuk jalan ke Kampung Long Seniei.

“Akibat daripada hujan yang berterusan dan mengakibatkan banjir, banyak kawasan telah dinaiki air dan jalan darat terputus,” katanya.

Sebanyak 300kg beras, 60kg gula, 60kg tepung, 60kg minyak masak, 27kg mee Maggi, 6kg garam, 28.8kg makanan dalam tin dan 27kg roti kering disediakan buat mangsa yang terjejas.

Difahamkan juga terdapat 22 orang ketua bilik di rumah panjang tersebut yang memliliki insuran Allianz Kampungku yang menyediakan perlindungan insurans meliputi perlindungan akibat kebakaran, banjir dan ribut taufan.

Selain itu, pemantauan banjir melalui udara juga telah dilaksanakan di kawasan yang terjejas iaitu Long Panai, Long Bemang, Long Miri, Long Laput dan Long Lama.

Pemantauan hari ini mendapati banjir di kawasan hulu sungai Baram telah mulai surut.

Namun, penduduk kawasan di sebelah hilir dinasihatkan agar sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia sekiranya hujan masih berterusan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.