Ahli Geng 36 bersenjata pistol di dalam kereta ditahan polis

Spread the love

KEPALA BATAS, 13 Sept : Seorang lelaki dipercayai ahli kongsi gelap Geng 36 yang bersenjatakan sepucuk pistol diberkas polis dalam serbuan ke atas sebuah kereta di Mak Mandin, Butterworth dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan di hadapan sebuah kedai makan kira-kira pukul 7.30 petang.

“Ketika polis memeriksa suspek, kita menemui pistol jenis Zoraki M906-T bersama kelopak berisi empat butir peluru yang diselit pada sebelah kiri pinggang.

“Pemeriksaan di bawah tempat duduk pemandu pula, polis menemui beberapa jenis senjata tajam iaitu parang, keris, pisau lipat, pisau bersarung dan kapak kecil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini hari ini.

Kata Mohd. Radzi lagi, siasatan pihaknya mendapati suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau itu merupakan orang yang dikehendaki polis di Klang, Selangor dalam kes merusuh dengan senjata.

“Dia dipercayai ahli kongsi gelap yang datang ke negeri ini dari Klang kerana kad pengenalannya beralamat di sana.

“Namun, siasatan lanjut sedang dilakukan tentang mengapa dia berada di sini,” katanya lagi.

Beliau berkata, suspek direman selama seminggu bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjatapi 1960 dan Seksyen 6(1) Akta Kakisan dan Bahan Letupan 1958. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.