Transformasi pembangunan Bintulu semarakkan semangat Hari Malaysia

Spread the love

KUCHING, 12 Sept: Transformasi pembangunan Bintulu sebagai bandar perindustrian adalah antara aspek yang akan diketengahkan pada sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Negeri Sarawak pada 16 September ini.

Menteri Permodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata ia disiarkan dalam bentuk video kepada para jemputan dan orang awam.

Mengimbas kembali perkembangan itu, kata Rundi pelbagai kajian telah dan sedang dijalankan selepas mengambil kira impak perubahan itu kepada komuniti setempat.

“Menerusi video tersebut, kita boleh saksikan bagaimana Bintulu yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan berjaya membangun menjadi bandar perindustrian.

“Ia sekali gus memberi impak yang positif kepada populasi di sana, termasuk kesan kepada komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di kediaman rasminya di Demak Jaya, di sini pada Isnin.

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, Rundi berkata Tun Abdul Taib mengesyorkan agar kajian perlu dilaksanakan dalam memastikan masyarakat di Bintulu dapat menikmati pembangunan pesat yang sedang berlaku.

Menurutnya, kajian dari sudut demografi di Bintulu telah dilakukan termasuk mengambil kira kesan kepada kawasan Sebauh, Tanjung Kidurong, Tatau, Samalaju sehingga Miri.

Rundi yang juga menteri bertanggungjawab sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022 berkata pelbagai program telah dirancang sempena acara bersejarah tersebut.

Tun Abdul Taib dijangka hadir ke sambutan tersebut bersama Toh Puan Ragad Kurdi Taib selain Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

“Acara pada pagi 16 September, kita akan mengadakan fun ride bersama Premier sejauh 20km dengan penyertaan lebih 400 peserta.

“Majlis perasmian akan berlangsung pada sebelah malam bermula jam 7 hingga 10 malam sebelum diteruskan dengan konsert,” katanya.

Tema untuk sambutan pada tahun ini adalah “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” selari dengan tema sambutan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Melaka.

Lebih 5,000 orang termasuk jemputan khas dari Sabah dan Semenanjung Malaysia dijangka akan memeriahkan sambutan pada tahun ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.