Nama Premier Sarawak diabadikan pada orkid

Spread the love

KUCHING, 12 Sept: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju namanya diabadikan sebagai nama saintifik sejenis spesies baharu orkid yang ditemui seorang pengkaji daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Spesies baharu itu ditemui semasa ekspedisi saintifik ke Ulu Ketibas, Santuari Hidupan Liar Lanjak Entimau pada tahun 2008.

Nama Premier Sarawak diabadikan pada orkid

Menurut Naib Canselor UPM, Dato’ Dr. Mohd. Roslan Sulaiman, spesies baharu itu mengambil masa hampir 15 tahun untuk disahkan.

“Kita menamakan orkid itu sebagai Bulbophyllum Abangjoeii.

“Orkid ini sangat unik kerana ia berjalur dan telah ditemui lebih kurang 14 tahun yang lepas.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail pagi tadi.

Rombongan UPM bersama Premier Sarawak

Sementara itu, Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail memaklumkan buat julung kalinya majlis konvokesyen UPM bagi kampus Bintulu bakal diadakan pada November depan.

“Ini adalah bagi memberi penghormatan kepada Sarawak kerana meberi peluang kepada UPM untuk membuka kampus di Bintulu.

“Mulai tahun ini, majlis konvokesyen UPM kampus Bintulu akan dilaksanakan di Bintulu,” ujarnya.

Seramai 471 orang pelajar dijangka akan menghadiri majlis konvokesyen tersebut yang membabitkan pelajar peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan juga Ijazah Doktor Falsafah (PHD). -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.