MCPF terus pergiat usaha tingkatkan kesedaran masyarakat tentang jenayah scammer

Spread the love

SIBU, 13 Sept: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) giat menjalankan kempen untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian di seluruh negara.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Dato’ Sri Ayub Yaakob hari ini berkata jumlah kes tipu semakin meningkat dan tindakan segera perlu diambil untuk menghalang lebih ramai masyarakat daripada mangsa penjenayah siber.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan balai polis ke Balai Polis Lanang Sibu pada Isnin.

“Untuk enam bulan pertama tahun ini, kerugian yang dialami oleh mangsa-mangsa ‘scammer’ ini melebihi RM500 juta. Jika kita campur dengan kerugian pada tahun-tahun sebelumnya, ia boleh mencecah berbilion-bilion ringgit,” katanya.

Ayub berkata apa yang membimbangkan ialah bukan sahaja orang-orang kampung atau orang biasa sahaja yang mudah terpengaruh malah golongan profesional juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa pelbagai bentuk penipuan termasuk ugutan, tawaran pinjaman, dan skim “too good to be true’ meskipun terdapat banyak kempen kesedaran mengenai penipuan dalam talian telah diwar-warkan.

“Walaupun dalam keadaan sedar bahawa panggilan itu mungkin daripada penipu, orang ramai masih juga terperdaya apabila mereka terus melayan perbualan dengan penipu, mereka akan percaya dan tunduk kepada scammer. Yang terbaik, padamkan terus perbualan itu dengan mematikan telefon anda,” kata Ayub.

Walau bagaimanapun, terdapat ramai juga yang masih teruja dan sifat ingin tahu untuk mendengar apa yang ditawarkan kerana mereka enggan melepaskan peluang itu.

“Jika anda menerima panggilan kononnya sama ada daripada polis, jabatan kehakiman, kementerian dalam negeri atau tawaran pinjaman, memenangi nombor bertuah, sila jangan sesekali dilayan kerana jabatan kerajaan tidak akan membuat panggilan untuk menawarkan sebarang faedah,” katanya.

Ayub yang merupakan bekas pengarah di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia, menggesa masyarakat agar bekerjasama rapat dengan polis seperti sentiasa berkomunikasi dengan balai polis masing-masing dalam memerangi penipuan dalam talian dan kerja-kerja pencegahan jenayah .

Sementara itu Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili merakamkan penghargaan kepada MCPF kerana mencalonkan anugerah “Balai Polis Cemerlang” kepada Balai Polis Lanang.

Beliau berharap mereka akan terus berusaha untuk mengekalkan anugerah tersebut untuk tahun-tahun berikutnya.

Untuk rekod, Balai Lanang ditubuhkan pada 2005, mempunyai 54 anggota polis dan empat penjawat awam.

Zulkipli berkata, balai tersebut meliputi kawasan selian seluas 1,395 meter persegi dengan jumlah penduduk seramai 70,764 dari pelbagai kaum dan latar belakang. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.