Keunikan seni manik Orang Ulu perlu dipelihara dan dipromosikan

Spread the love

MIRI, 12 Sept: Tradisi manik Orang Ulu perlu dihargai dan dipelihara kerana seni ini merupakan salah satu keunikan yang cuma ada di Sarawak.

Apa yang menjadikan manik Orang Ulu unik dan menarik adalah ia mempunyai maknanya tersendiri untuk orang-orang tertentu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Sri Lee Kim Shin menzahirkan rasa kagum dengan kecantikan seni manik hasil tangan sendiri kaum Orang Ulu yang dihasilkan tanpa melibatkan mesin.

Pelihara keunikan seni manik Orang Ulu

“Sekarang ini, kebanyakan benda dilakukan dengan mesin dan automasi. Tetapi manik-manik orang Ulu dibuat dengan tangan sendiri.

“Itu sesuatu benda yang kita tidak dapat lihat di kebanyakan tempat. Sebab itulah kita perlu mempromosikan manik-manik Sarawak dari pelbagai kaum seperti Kelabit, Kayan, Iban dan Kenyah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertunjukan Fesyen Manik dan Majlis Makan Malam Hari Malaysia yang dianjurkan oleh Persatuan Wanita Orang Ulu di Eastwood Valley, Miri semalam.

Tambahnya, seni kraftangan kaum-kaum Sarawak perlu diperkenalkan dan dipromosikan supaya tradisi ini dapat dipertahankan selama yang mungkin.

Antara langkah yang boleh dilaksanakan ialah melalui pameran sebagai platform untuk mereka menunjukkan hasil kerja mereka.

“Kita boleh adakan pameran manik antarabangsa bagi menunjukkan seni manik kamu. Bukan setakat manik, malahan juga karya seni lain seperti pakaian dan makanan tradisi kamu,” katanya lagi.

Beliau berharap melalui program sebegini, dapat mempromosikan bukan sahaja seni tradisi kaum-kaum di Sarawak, malah menunjukkan keharmonian, perpaduan dan kesefahaman dalam kalangan komuniti Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum kepada dunia. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.