Kes baharu COVID-19 terus menurun

Spread the love

KUALA LUMPUR, 12 Sept: Bilangan kes baharu COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan penurunan dan semalam (Ahad) sebanyak 1,483 kes dilaporkan berbanding 1,971 kes pada Sabtu.

Keadaan sama turut dilihat dalam tempoh seminggu apabila jangkitan COVID-19 menunjukkan penurunan bilangan kes dengan mencatat 14,072 kes pada Minggu Epidemiologi ke-36 iaitu dari 4 hingga 10 Sept berbanding 15,530 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes kematian dalam tempoh itu pula menurun sebanyak 27.7 peratus iaitu dari 47 kes kepada 34 kes dalam tempoh sama.

“Purata kes aktif setiap hari bagi tempoh itu adalah 27,503 iaitu terdapat penurunan sebanyak 12.2 peratus berbanding minggu sebelumnya,” katanya dalam kenyataan berkaitan situasi semasa jangkitan COVID-19, hari ini.

Sementara itu, bagi kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) awam) bagi setiap 100,000 penduduk untuk kategori pesakit 1 dan 2 meningkat sebanyak 3.4 peratus manakala pesakit kategori 3, 4 dan 5 menurun sebanyak 3.7 peratus.

Dr Noor Hisham berkata pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak satu peratus manakala peratusan pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun 0.2 peratus pada tempoh itu berbanding minggu sebelumnya.

Beliau berkata kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan penurunan.

“Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 15.8 peratus, kes baharu yang menjalani pemantauan di rumah turun 11.0 peratus manakala bilangan kes yang dirujuk CAC ke hospital turun 1.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati 124 sampel Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan positif COVID-19. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.