Kerjasama erat kerajaan negeri dan pusat permudahkan usaha pembangunan Sarawak

Spread the love

KUCHING, 13 Sept:  Pemerkasaan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan persekutuan diyakini mampu menyumbang kepada keberhasilan aspirasi Sarawak mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Setiausaha Persekutuan Negeri Sarawak, Datuk Amir Omar berkata ia sekali gus dapat merealisasikan projek pembangunan yang telah dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg katanya mempunyai misi dan visi yang jelas dalam tadbir urus yang memberi kesan secara holistik.

“Visi dan misinya sangat jelas malah dengan kerjasama yang erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri kita akan dapat melihat lebih banyak pembangunan terutama pembinaan sekolah, jalan raya mahupun pusat kesihatan.

“Daripada peruntukan yang kita dapat, Sarawak salah satu negeri yang menerima peruntukan yang besar dari segi proses pembangunan yang dilaksanakan di bawah RMK12,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di kediamannya di Demak Jaya di sini pada Isnin.

Ia merupakan kunjungan perpisahan Amir yang akan bersara wajib pada 26 September ini selepas berkhidmat selama 18 bulan di Bumi Kenyalang.

Di kesempatan itu, beliau turut mengingatkan agar penjawat awam persekutuan di Sarawak terus menabur bakti dengan penuh ikhlas demi Malaysia.

“Kepada penjawat awam persekutuan saya harap kita dapat bekerja demi Malaysia walau di mana kita berada yang penting ialah kemajuan negeri Sarawak akan membantu negara ke arah pembangunan yang lebih pesat di masa yang akan datang.

“Ia sekali gus meningkatkan kualiti hidup terutama mereka yang berada di Sarawak,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.