Ibu pejabat Maybank dipindahkan ke Menara Merdeka 118 pada 2025

Spread the love

KUALA LUMPUR, 12 Sept: Malayan Banking Bhd (Maybank) telah memeterai perjanjian penyewaan selama 21 tahun dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk memindahkan ibu pejabat korporatnya dari Menara Maybank ke ikon terbaharu negara, Menara Merdeka 118 menjelang suku pertama 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli berkata keputusan untuk berpindah dibuat selepas perbincangan menyeluruh dan mendalam di peringkat tertinggi Maybank sejak 2019.

“Kami telah membuat banyak pertimbangan yang merangkumi keperluan ruang kerja yang menyokong norma baharu serta memenuhi cita-cita kemampanan bank.

“Memandangkan kami secara progresif sedang menerima pengaturan kerja hibrid termasuk pejabat maya, kami mahu menduduki ruang kerja yang optimum dalam bangunan yang disokong oleh infrastruktur teknologi moden dan progresif alam sekitar, sejajar dengan piawaian global baharu kelestarian dalam bangunan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian itu di sini hari ini.

Perjanjian itu dimeterai Khairussaleh dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.  Pengerusi Maybank Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa serta Pengerusi Kumpulan PNB Tun Arifin Zakaria turut hadir pada majlis tersebut.

Menurut Khairussaleh lagi, Maybank akan menyewa secara keseluruhan 33 tingkat bagi menempatkan kira-kira 5,900 pekerjanya. Ia akan menduduki 650,000 kaki persegi, kurang daripada kawasan yang boleh disewa bersih semasa di Menara Maybank iaitu 1.09 juta kaki persegi.

Turut dipindahkan ke Menara 118 ialah anak syarikat Maybank terpilih yang sekarang ini berpejabat di Dataran Maybank termasuk Maybank Islamic, Maybank Investment Bank dan Maybank Asset Management.

Sebagai penyewa utama, katanya, Maybank ditawarkan hak penamaan serta papan tanda ke atas bangunan itu, ini akan meningkatkan keterlihatan jenamanya di salah satu bangunan yang tertinggi di dunia.

Sebagai permulaan, Maybank akan membayar sewa kasar bulanan sebanyak RM10.60 setiap kaki persegi bagi enam tahun pertama, dengan pelarasan seterusnya untuk kos inflasi. Ini diterjemahkan kepada kadar sewa efektif sebanyak RM8.92 kaki persegi iaitu lebih rendah daripada sewa kasar serta dalam kadar pasaran saksama sebanyak RM8.48 kaki persegi dan RM8.93 kaki persegi seperti yang dinilai oleh penilai bebas. Kadar sewa efektif bersih biasanya digunakan sebagai jangkaan ukuran pendapatan daripada penyewa.

Sementara itu, memandangkan langkah itu akan menyebabkan kekosongan di Menara Maybank yang dimilikinya, kedua-dua pihak juga telah memeterai perjanjian pajakan untuk tempoh 10 tahun secara bersih tiga kali ganda, serentak dengan perjanjian penyewaan untuk Menara Merdeka 118.

“Perjanjian pajakan bagi Menara Maybank akan bermula pada suku terakhir 2025. Di bawah asas bersih tiga kali ganda itu, PNB akan menjadi pemberi pajak induk selain, menanggung semua perbelanjaan yang berkaitan dengan bangunan termasuk penyelenggaraan, insurans dan cukai.

“Pengaturan ini akan membolehkan Maybank merealisasikan pendapatan sewa sambil menangguhkan pelupusan bangunan ke tarikh kemudian apabila pasaran hartanah pulih selanjutnya, membolehkan bank memaksimumkan nilai bangunan,” katanya.

Ahmad Zulqarnain ketika mengulas mengenai perjanjian itu menjelaskan Menara Merdeka 118 akan siap menjelang akhir tahun ini dan ia akan menjadi bangunan pertama di Malaysia yang disasarkan untuk mencapai pensijilan platinum hijau tiga kali ganda dalam Kepimpinan dalam Tenaga dan Reka Bentuk Alam Sekitar (LEED), Indeks Bangunan Hijau (GBI) serta Hartanah Hijau (GreenRE).

“Penyewaan Menara Maybank adalah penyelesaian menang-menang bagi kedua-dua pihak. Yang mana, Maybank akan beralih daripada tuan tanah dan berpindah ke Merdeka118 manakala PNB akan menguruskan aset Menara Maybank sebagai sebahagian daripada portfolio hartanah teras domestiknya, yang kini berjumlah 40 aset dan 13 aset lagi di peringkat antarabangsa,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.