Baru tiga bulan bekerja, amah lari bersama barang kemas majikan bernilai RM69,000

Spread the love

BUKIT MERTAJAM, 12 Sept : Polis memburu seorang amah warga asing yang disyaki melarikan barang kemas bernilai RM69,000 milik majikannya di Taman Bukit di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor berusia 33 tahun pada Sabtu yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, mangsa menyedari barang kemas milik isterinya yang diletakkan di dalam sebuah almari berkunci telah hilang ketika mahu mengambilnya dua hari selepas pembantu rumah itu melarikan diri.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah jiran, suspek berusia 27 tahun dilihat keluar dari rumah kira-kira pukul 1 pagi pada Khamis.

“Sebuah kereta dilihat menunggu suspek yang baru tiga bulan bekerja itu berdekatan rumah majikannya sebelum beredar,” kata Cheng San pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini.

Katanya, antara barang kemas emas yang dilaporkan hilang adalah rantai leher dan tangan, gelang tangan, loket serta subang yang keseluruhannya bernilai RM69,000.
Beliau berkata, polis sedang memburu suspek bersama individu di dalam kereta yang membawanya lari.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Inspektor Mohamad Suhaimi Ismail di talian 019-2909231 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.