125 penduduk kampung Long Ikang terjejas akibat banjir

Spread the love

MIRI, 12 Sept : Sebanyak 125 penduduk kampung dan 75 buah rumah di Long Ikang terjejas akibat banjir sejak Sabtu lalu.

Hujan lebat berterusan selama beberapa hari di kawasan tersebut dipercayai menjadi punca paras air meningkat dan mengakibatkan banjir.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Maureen Sim Ah Lian berkata, paras air telah meningkat sehingga 3 kaki di Blok Hilir dan 1 kaki di Blok Tengah kampung tersebut.

Setakat hari ini, tinjauan mendapati hujan di kawasan perkampungan itu sudah berhenti dan cuaca bertukar cerah.

“Tiada perpindahan yang perlu dilakukan untuk penduduk di sana, namun bekalan elektrik telah ditutup di kawasan terjejas bagi keselamatan penduduk,” ujarnya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca pagi dikatakan akan hujan di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah manakala pada sebelah petang, ribut petir atau hujan akan berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, pedalaman Sarawak dan barat Sabah. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.