Syarikat pemula Sarawak kuasai 70 peratus penyertaan dalam program Startup Malaysia

Spread the love

KUCHING, 11 Sept : Ekosistem syarikat pemula (starup) di Sarawak menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencatatkan penyertaan tertinggi dalam program Starup Malaysia.

Timbalan Ketua Saintis dan Timbalan Ketua Penasihat, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Prof Ir. Ts. Dr Al-Khalid Othman berkata, ketika ini starup Sarawak menguasai 70 peratus daripada keseluruhan 5,000 penyertaan dalam program berkenaan.

Kata beliau, kejayaan itu disumbang pelbagai faktor termasuk kerjasama diberikan Pusat Komuniti Digital (PKD) daerah di seluruh Sarawak.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PKD Batu Kawa atas sokongan dengan menghantar penyertaan dalam program berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program Mini Karnival Accelerate Telaga Air 2022 di Kampung Telaga Air, di sini pagi tadi.

Program berkenaan dianjurkan oleh PKD Batu Kawa dengan kerjasama Majlis Perbandaran Padawan (MPD) dan SMA.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Umum dan Pembangunan Komuniti, Kaunselor Rabian Kipli dan Pengerusi Jawatankuasa Ketua Kampung Telaga Air, Zaini Tanggek.

Startup Malaysia merupakan program untuk melahirkan usahawan tempatan yang menggunakan platform digital sebagai salah satu kaedah pemasaran.

Sementara itu, Pemangku Ketua Bahagian Pembangunan dan Komuniti, MPD, Nor Aziah Jumaini berkata, pihaknya mengalukan kedatangan orang ramai ke fasiliti mereka untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang digital.

“Di bawah unit perpustakan, kami mempunyai kakitangan terlatih yang boleh memberikan bantuan kepada golongan tidak mahir internet atau usahawan yang ingin belajar kaedah pemasaran digital.

“Kita ingin menyahut seruan Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan komuniti digital menerusi usahawan dan perniagaan secara dalam talian menggunakan pelbagai platform media sosial yang berbeza seperti Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok,”katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.