Pembentangan Belanjawan 2023 diharap tidak hanya melepaskan batuk di tangga

Spread the love

MIRI, 11 Sept: Belanjawan 2023 yang dijadual dibentangkan pada 7 Oktober akan datang diharapkan turut memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur di Sarawak.

Pembentangan belanjawan itu nanti juga diharap tidak sekadar melepaskan batuk di tangga semata-mata, di mana jumlah peruntukan dihadkan dengan alasan bahawa ekonomi negara tidak begitu baik.

Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, berkata belanjawan pada kali ini perlu memberi fokus kepada usaha menaik taraf sekolah dan klinik kesihatan yang daif, seperti di kawasannya.

“Bajet ini harus fokus juga kepada kawasan parlimen Sibuti untuk membangunkan lagi sekolah-sekolah daif di kawasan parlimen Sibuti.

“Bukannya kita tidak berjaya tetapi kita masih perlukan lebih banyak lagi sekolah daif dibangunkan semula.

“Fokus kali ini, saya akan membahaskan bajet tentang kesihatan, terutama sekali fokus kepada infra di mana kita biasa dengan sekolah daif, tetapi klinik-klinik kita juga berdepan dengan masalah kekurangan dana, bocor dan juga hampir roboh,” katanya.

Beliau juga ingin memohon peruntukan untuk menaik taraf perkhidmatan komunikasi yang lebih luas agar kawasan terpencil di kawasannya turut menerima akses internet yang baik.

“Kita akan memohon peruntukan lebih berkenaan dengan isu-isu seperti ‘the last mile’ untuk membuat jalan, memasang meter elektrik, dan juga pemasangan menara melalui program JENDELA.

“Seperti di Parlimen Sibuti, kita mempunyai lebih kurang hampir 21 menara yang sedang dibangunkan, dan kita juga memerlukan tambahan pada fasa kedua untuk membolehkan kawasan yang lebih terpencil mendapat akses kepada perkhidmatan telekomunikasi,” kata Lukanisman.

Beliau berharap agar kerajaan persekutuan juga memberi perhatian lebih kepada pembangunan luar bandar dengan menyediakan rumah mampu milik bagi penduduk dalam golongan B40.

“Selain itu, isu-isu berkaitan dengan pekerjaan, perumahan dan juga skim pinjaman, saya harap dapat diberi fokus oleh kerajaan persekutuan dengan menyediakan peruntukan mencukupi bagi pinjaman rumah generasi kedua dan ketiga, ataupun pinjaman seperti pinjaman rumah panjang yang ada di sediakan di Sarawak oleh kerajaan negeri tetapi turut dibantu oleh kerajaan persekutuan dari sudut menyediakan dana-dana tersebut,” katanya lagi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.