Lampu isyarat pintar, lampu jalan LED fokus Belanjawan 2023 – Fadillah

Spread the love

KEPALA BATAS, 11 Sept : Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi fokus kepada pemasangan lampu isyarat pintar dan lampu diod pemancar cahaya (LED) bagi lampu jalan di seluruh negara melalui Belanjawan 2023.

Menterinya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ia selepas pihaknya mengadakan sesi perbincangan bersama Kementerian Kewangan berhubung belanjawan tahun hadapan yang memberi penekanan kepada kemudahan dan kesejahteraan rakyat.

“Fokus adalah kepada keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya, dalam konteks lampu jalan, kita akan menggunakan LED yang lebih penjimatan.

“Selain itu, sistem lampu isyarat pintar dapat mengurangkan kesesakan dan lebih efisyen berbanding lampu isyarat lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek Membina Jalan Dari Dua Lorong Kepada Empat Lorong dari Permatang Pak Elong hingga Jambatan Merdeka di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Sementara itu, Fadillah berkata, kementerian juga telah bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan banjir besar akan melanda beberapa negeri Semenanjung menjelang November ini.

“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, Bilik Gerakan Bencana (BIGBEN) KKR di ibu pejabat akan segera beroperasi disusuli daerah terlibat akan memantau perkembangan banjir dari semasa ke semasa,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.