Kedai emas rugi RM660 ribu dirompak lelaki bersenjata pistol

Spread the love

IPOH, 11 Sept : Sebuah kedai emas di Taman Ipoh Jaya di sini kerugian kira-kira RM660,000 apabila sejumlah barang kemas dan wang tunai dilarikan dua perompak bersenjata dipercayai pistol semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.15 pagi sebelum pasukannya bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek telah mengacukan senjata berupa pistol kepada tiga pekerja kedai emas itu ketika mereka mahu membuka kedai.

“Perompak berjaya melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM660,000.

“Walaubagaimanapun ketiga-tiga pekerja itu tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Mohd. Yusri, polis sedang giat memburu kedua-dua suspek warga tempatan itu yang masih bebas.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan (ASP)  Fadu Ahmad di talian 019-2500019 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan bersenjata. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.