Helikopter putus hubungan, tidak mendarat di Ipoh ikut jadual

Spread the love

IPOH, 11 Sept : Sebuah helikopter jenis Eurocopter dikhuatiri hilang apabila terputus hubungan selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang, Selangor hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bahawa usaha mencari helikopter berkenaan dibuat selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada pukul 12.16 tengah hari tadi.

Katanya, CAAM dengan bantuan polis Bidor telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi menentukan lokasi helikopter berkenaan mengikut prosedur ditetapkan.

“Helikopter tersebut sebelum itu berlepas dari LTSAAS pada pukul 11.37 pagi untuk penerbangan peribadi dengan seorang juruterbang.

“Ia dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh pada pukul 12.37 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai mendoakan pasukan penyelamat berjaya dalam misi SAR tersebut.

Pihak CAAM dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kejadian itu. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.