Tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak wujudkan kestabilan – Lukanisman

Spread the love

MIRI, 10 Sept : Tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen oleh Sabah dan Sarawak adalah bagi memastikan majoriti dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat tidak dikuasai satu wilayah sahaja.

Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni berkata, pengagihan kerusi Parlimen yang lebih ‘adil’ juga akan mewujudkan kestabilan kepada Malaysia.

“Wilayah Borneo iaitu Sabah dan Sarawak memerlukan satu pertiga kerusi Parlimen selepas Singapura keluar dari Malaysia namun kerusi itu tidak diagihkan.

“Selepas tempoh yang lama,sekarang menjadi keperluan kita untuk menyemak semula perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Program Kayuhan Merdeka anjuran Jabatan Penerangan Miri di Taman Komuniti Taman Tunku Miri di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau memberi komitmen kerajaan untuk memberi perhatian terhadap isu-isu berbangkit di Sabah dan Sarawak termasuk berkaitan jumlah wakil dua negeri itu di Parlimen.

Beliau berkata ia antara isu dibangkitkan pada Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikannya pada Khamis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan dilapor berkata mesyuarat itu mengendors langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Langkah itu bakal membolehkan Sabah dan Sarawak memiliki 78 daripada 222 kerusi.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, perlunya dilakukan pindaan perlembagaan untuk merealisasikan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

“Saya harap Kerajaan Persekutuan dapat melakukan sesuatu agar proses pertambahan kerusi dapat disegerakan,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.