Transformasi sistem kesihatan negara daripada ‘sick care’ kepada ‘health care’ – Khairy

Spread the love

KOTA KINABALU, 10 Sept : Kementerian Kesihatan sedang melakukan transformasi sistem kesihatan negara daripada sick care atau penjagaan pesakit kepada health care (penjagaan kesihatan), kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Seperti kata-kata ‘mencegah lebih baik daripada merawat’, beliau berkata transformasi itu penting bagi membolehkan pemerkasaan terhadap aktiviti pencegahan penyakit, menggalakkan gaya hidup sihat, meningkatkan saringan kesihatan dan perkhidmatan kesihatan primer dalam komuniti.

Beliau berkata transformasi itu juga dapat menggalakkan perluasan rekod kesihatan digital dalam kalangan komuniti dan penggunaan teknologi terkini dalam sektor kesihatan.

“(Transformasi ini) maksudnya kita mahu kekalkan rakyat Malaysia sentiasa sihat. Setiap tahun hampir satu juta rakyat Malaysia jatuh sakit sama ada menghidap kencing manis, hipertensi, kolestrol terlalu tinggi dan bermacam-macam penyakit.

“Sehubungan itu, Kertas Putih Kesihatan (HWP) menjadi dokumen dasar kerajaan penting yang akan mengesyorkan reformasi sistem kesihatan negara secara berfasa bagi tempoh 15 tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada Dialog Awam Pembangunan HWP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Shahelmey Yahya dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata Suruhanjaya Reformasi Kesihatan akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan HWP dan melalui HWP fungsi-fungsi di bawah kementerian akan menjadi lebih cekap dan berkesan, termasuk  penambahbaikan perancangan sumber manusia.

Sementara itu, mengenai pelan sistem kesihatan di Sabah dan Sarawak, beliau berkata 30 buah klinik kesihatan iaitu 14 di Sabah dan 16 di Sarawak dengan anggaran perbelanjaan RM1.5 bilion, bakal dibina di kedua-dua negeri itu.

“Kementerian turut menyasarkan untuk menaik taraf enam hospital bukan pakar kepada hospital pakar minor, masing-masing tiga di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sesi dialog awam kertas putih kesihatan itu membolehkan pelbagai isu dan idea disuarakan dari pelbagai peringkat sektor kesihatan, agar sistem kesihatan bertambah baik.

Beliau berkata sistem kesihatan di Sabah dan Sarawak sememangnya memerlukan lebih banyak perhatian dari pelbagai aspek untuk ditambah baik, bagi membolehkan kertas putih kesihatan dibentangkan di Parlimen.

“Ini adalah suatu sesi yang baik, kita dapat bercakap dari atas hingga ke bawah bagi mendapatkan satu kertas (HWP) yang mantap dan cara terbaik untuk membina sebuah sistem kesihatan terbaik, supaya jika berhadapan pandemik atau bencana kita dapat menguruskannya dengan baik,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.