Richard Riot antara calon SUPP bertanding pada PRU15 – Dr Sim

Spread the love

KUCHING, 10 Sept : Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr. Sim Kui Hian mengesahkan Ahli Parlimen Serian Dato’ Sri Richard Riot Jaem akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak tidak mendedahkan sama ada Ahli Parlimen Serian itu akan mempertahankan kerusi berkenaan atau tidak.

Dr Sim turut berkata SUPP tidak akan meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu untuk bertanding di peringkat Parlimen dalam PRU15 bagi memberi laluan kepada muka baharu.

“Keseluruhan kerusi Gabungan Parti Sarawak yang bertanding PRU15 adalah 31 dan tujuh daripadanya adalah kerusi SUPP. Richard sudah pasti dicalonkan sementara enam lagi adalah muka baharu,” katanya.

Beliau berkata SUPP tidak mahu menjadi seperti parti tertentu yang calon mereka sudah menjadi ADUN tetapi mahu bertanding di parlimen.

“Gaji dua kali tapi kerja hanya buat sekali, itu tidak sihat dan tidak ada peluang untuk kami  mempersiapkan orang muda,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis “Lantern of Unity” anjuran Wanita SUPP di Taman Majlis Bandaraya Kuching Selatan di sini malam ini.

Sebelum ini, media melaporkan Riot, 70, yang sudah menjadi Ahli Parlimen Serian sejak 1990 berkata keputusan sama ada beliau bakal mempertahankan kerusi itu diserahkan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.