Rehab Concept buka kiosk di Vivacity untuk kempen kesedaran osteoarthritis

Spread the love

KUCHING, 10 Sept : Syarikat Rehab Concept akan membuka kiosk di E – Atrium, Vivacity esok untuk mempromosikan kesedaran penyakit osteoarthritis.

Syarikat yang mula beroperasi pada 2015 ini ditubuhkan oleh sekumpulan ahli fisioterapi yang berhasrat untuk membangun dan menawarkan perkhidmatan pemulihan berdasarkan amalan berasaskan bukti.

Berpandukan misi ‘Memenuhi keperluan pemulihan anda di bawah satu bumbung’, Rehab Concept menawarkan pelbagai disiplin termasuk ahli fisioterapi, ahli terapi sukan, jurulatih pilates, ahli terapi pemulihan pekerjaan dan pakar diet.

Penyakit ini menganggu tisu sendi badan pesakit pada bahagian lutut, pinggul dan tangan.

Apabila kesan penyakit ini berlanjutan, tisu-tisu sendi badan akan mula rosak dan meradang yang seterusnya menyebabkan kesakitan, otot menjadi lemah, kekakuan sendi, kemerosotan fungsi dan menjejaskan kualiti hidup seseorang.

Menurut Rehab Concept, mereka komited untuk menyediakan perkhidmatan pemulihan, pendidikan dan kesihatan pencegahan berasaskan bukti untuk kesejahteraan seumur hidup sekaligus mengoptimumkan kualiti hidup.

Sehubungan itu syarikat berkenaan menjemput orang ramai untuk melawat kiosk mereka di pusat membeli – belah berkenaan.

Sempena kempen esok, pakar- pakar fisioterapi dan ahli terapi senaman akan hadir dan menawarkan sesi rundingan dan pemeriksaan bagi pesakit osteoarthritis. 

Orang ramai turut berpeluang mendapat pelbagai tips kesihatan menarik seperti idea senaman yang efektif dan berkesan.

Selain itu terdapat kiosk yang akan menawarkan servis pemeriksaan kaki dan sebagainya.

Sementara itu, pada 8 September setiap tahun, Hari Fisioterapi Sedunia akan disambut sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kepada sumbangan ahli-ahli fisioterapi kepada pesakit serta kepada masyarakat secara umumnya.

Pada tahun ini tumpuan utama sambutan Hari Fisioterapi Sedunia tertumpu kepada peranan ahli fisioterapi dalam pencegahan dan pengurusan individu yang terjejas oleh osteoarthritis (OA). – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.