NSFC manfaat beraksi laman sendiri, benam Sarawak United 3-2

Spread the love

KUALA LUMPUR, 10 Sept : Negeri Sembilan FC (NSFC) berjaya mengutip tiga mata penuh di laman sendiri selepas berjaya menewaskan Sarawak United FC 3-2 pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Beraksi dalam hujan pada awal permainan, Skuad Hobin Jang Hobin berjaya membuka tirai gol pada minit ke-17 selepas Gustavo Almeida dos Santos menanduk masuk sepakan sudut Che Rashid Che Halim.

Tidak lama kemudian skuad kendalian S Balachandran menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain pertahanan Raja Imran Shah Raja Amin pada minit ke-30.

Bersambung babak kedua Skuad Hobin Jang Hobin sekali lagi menambah jaringan melalui Dos Santos  pada minit ke-66 hasil hantaran satu dua bersama Matheus Alves Leandro.

NSFC terus melebarkan jaringan terhasil selepas sepakan sudut yang disempurnakan Leandro pada minit ke-79.

Sarawak United bagaimanapun berjaya merapatkan jurang gol selepas pemain simpanan Nur Shamie Iszuan Amin berjaya meledak gol penutup selepas penjaga gawang NSFC Ahmad Syihan Hazmi Mohamed gagal mendakap kemas bola pada minit ke-85.

Sementara itu, perlawanan di Melaka menyaksikan Kedah Darul Aman FC berpesta gol menundukkan Melaka United 3-0 selepas tuan rumah gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri di Stadium Hang Jebat, Krubong.

Skuad Sang Kancil yang tempang tanpa khidmat pemain import itu dibolosi pasukan pelawat menerusi jaringan pemain import dari Jordan Mahmoud Almardi pada minit ke-13.

Kedah yang terus mengasak kubu tuan rumah pada babak kedua berjaya menambah gol menerusi Fayadh Zulkifli pada minit ke-83 sebelum Mahmoud menjaringkan gol ketiga seminit sebelum tamat masa permainan sebenar.

Kekalahan itu menyaksikan Melaka yang mengumpul 17 mata kini berada di tangga kesembilan manakala Kedah naik ke tangga kelima Liga Super dengan 24 mata. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.